Saya baca ni semalam dalam Utusan online :
Ribuan penduduk Seberang Takir beraya udang galah
Oleh IRMAN HASHIM dan ADNAN MOHAMAD
KUALA TERENGGANU 9 Jan. - Ribuan penduduk menyerbu beberapa kawasan pantai di negeri ini apabila beberapa kontena berisi pelbagai jenis makanan, pakaian dan rokok terdampar di pantai-pantai itu, semalam dan hari ini.
Di pantai Kampung Bharu, Seberang Takir dekat sini, lebih 1,500 penduduk berduyun-duyun ke pantai dan ada di antara mereka kemudian berebut-rebut untuk mengambil bungkusan udang harimau setelah kontena yang terdampar di pantai itu berjaya dipecahkan.
Selain dua kontena di pantai itu, terdapat tiga lagi kontena termasuk yang berisi rokok dan pakaian turut dilaporkan terdampar, masing-masing satu di pantai Batu Rakit, Merang dan Penarik.
Walaupun polis masih menyiasat kejadian itu tetapi dipercayai kontena-kontena itu dibawa oleh sebuah kapal dagang yang dalam perjalanan dari Kemboja ke Singapura melalui Laut China Selatan.
Utusan Malaysia juga difahamkan kontena-kontena itu mungkin terjatuh ke laut dari kapal setelah dipukul ombak besar sebelum ia hanyut ke pantai-pantai di negeri ini kira-kira pukul 6 petang semalam.
Sehingga lewat petang ini, orang ramai termasuk para penduduk kampung di sekitar kawasan pantai berkenaan tidak putus-putus berkunjung ke lokasi berkenaan untuk mendapatkan barangan tersebut.
Apa yang menarik, kaum wanita termasuk suri rumah tidak segan silu untuk menyertai pesta barangan percuma itu.
Sebelum itu, ramai di kalangan mereka berusaha memecahkan kontena tersebut bagi mendapatkan udang tanpa mengira keselamatan diri walaupun ketika itu kontena berkenaan dipukul ombak besar.
Ketua Polis Negeri, Datuk Hussin Ismail ketika diminta mengulas kejadian itu berkata, pihaknya sedang menyiasat dari mana datangnya kontena-kontena `misteri' tersebut.
``Siasatan itu turut melibatkan adakah kontena itu jatuh dari kapal yang dipukul ombak besar,'' katanya di sini hari ini.
Sementara itu, polis memberitahu, beberapa orang penduduk dilaporkan cedera ringan terkena serpihan besi kontena akibat terlalu ghairah berebut-rebut memecahkan dinding besi kontena untuk mendapatkan barangan tersebut.
``Kontena itu terdampar di pantai itu sejak petang semalam yang sebahagiannya pecah dipukul ombak sehingga menyebabkan barangan yang berada dalam kontena dihanyutkan ke tepian pantai.
``Barangan seperti udang putih yang sudah siap diproses itu berada dalam kotak dipercayai produk Kemboja berdasarkan di kotak itu terdapat tulisan product of Cambodia.
``Rokok berjenama Texas 5 turut ditemui di kontena yang tersadai di Tanjong Seberang Takir,'' kata pegawai polis itu yang enggan namanya disiarkan.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Che Azmi A. Rahman yang turut berada bersama ribuan penduduk di pantai Kampung Bahru ketika ditemui berkata, kontena-kontena itu dipercayai terjatuh dari sebuah kapal atau hanyut selepas sebuah kapal kargo karam di tengah lautan.
Dalam pada itu, seorang penduduk Kampung Bahru, Mohd. Shah Jaafar, 26, berkata, beliau melihat kontena berkenaan terumbang-ambing di tengah laut pada pukul 6 petang semalam lalu menyangka ia sebuah kapal.
``Kontena itu kemudian semakin menghampiri pantai dan terdampar sebelum Maghrib semalam,'' katanya.
Seorang lagi penduduk, Osemanniah Muda, 47, pula berkata, sebuah lagi kontena tersadai di pantai Tanjong Seberang Takir pada kira-kira pukul 9 malam.
Dia yang tinggal di Kampung Bahru berkata, pada mulanya dia tidak menyangka kontena yang belum pasti datang dari arah mana itu rupa-rupanya membawa rezeki kepada penduduk di sekitarnya.
``Suasana di kawasan terbabit dengan sekelip mata berubah menjadi tumpuan orang ramai hari ini selepas mereka menghampiri kontena itu dan mendapati rupa-rupanya ia mengandungi barangan tersebut.
``Ini merupakan rezeki yang tidak disangka-sangka dan hadiah pada tahun baru,'' ujarnya.
Komen saya:
1. Di mana sikap budi bahasa, kejujuran dan kasih sayang pada diri sendiri, keluarga dan sahabat handai? Tak segan silu ambil barang orang, sampai cedera ringan nak pecahkan kontena, sampai sanggup redah ombak besar berebutkan barang?
2. Miskin sangat ke mereka sampai sanggup buat macam tu sekali? Seumur hidup tak pernah ke makan udang, hisap rokok, beli baju, pakai baju? Mengalahkan orang Afrika yang melarat di Ethopia, Sudan contohnya, mangsa gempa bumi di Pakistan yang kesejukan dan hidup dalam kepayahan, mangsa tsunami di Sri Lanka dan Acheh yang belum tentu hala tuju masa depan mereka, yang masih makan bawah khemah (kalau ada)..
3. Rezeki? Hadiah tahun baru? Sapa yang bagi hadiah? Rezeki Bukan ke patut penduduk kampung tu laporkan pada pihak polis pasal kontena tu? Bukan terus pegi radak kontena orang and ambil barang-barang. Apa pulak kata pemilik kapal/kontena tu..
Payah saya nak tulis berlapik kali ni sebab saya malu betul dengan perangai orang Melayu ni, macam jakun! Buat malu kaum aje.. Jadi siapa yang rasa tersinggung, saya minta maaf. Tapi saya memang pantang kalau ada spesis macam ni - ambil barang bukan hak milik - tak ubah perangai pencuri/penyamun/perompak.
Mungkin orang akan kata, saya peduli apa, bukan barang saya and mungkin pemilik kapal/kontena tu boleh claim insurance.. betul. Tapi itu perkara kedua. Tapi yang saya nak tekankan kat sini adalah sikap budi bahasa, dan kejujuran sebilangan orang Melayu yang rata-ratanya Muslim yang langsung tidak ada dan akhirnya menjadi bahan ketawa bangsa lain apatah lagi yang bukan Muslim.